Salam Kedamaian semua.....
Wartawan dan laporan berita tidak dapat dipisahkan. Antara tugas seorang wartawan ialah mencari berita termasuk mengumpul fakta dan kemudian menulisnya dalam bentuk mudah supaya difahami jelata(massa). Salah satu sumber mendapatkan bahan berita adalah berdasarkan sesuatu kejadian yang dilihat dengan mata sendiri atau bahasa mudahnya, seseorang wartawan itu menyaksikan sendiri kejadian itu. Katakanlah, seseorang wartawan yang dalam perjalanan ke tempat kerja, secara kebetulan menyaksikan satu kemalangan jalan raya. Dia diberitahu saksi, lima orang terkorban dalam kemalangan itu. Dia kemudian mengira sendiri mayat yang disusun ditepi jalan - sah lima orang. Apabila sampai dipejabat, dia sudah boleh menulis berita. Misalnya dengan 'intro' lima maut dalam nahas ngeri. Bagi mengesahkan lagi faktanya, dia boleh menghubungi pihak polis atau hospital.
Sama seperti menulis laporan kemalangan tadi, seseorang wartawan juga boleh menulis laporan sesebuah perhimpunan berdasarkan apa yang dilihatnya. Jika dia menggangarkan ada 1,000 orang menyertai perhimpunan itu dan selepas bertanya kepada beberapa orang lain yang juga menyatakan angka yang sama, dia sudah boleh menulis laporan yang mungkin berbunyi 1,000 sertai perhimpunan. Dia boleh menghubungi pihak polis untuk mengesahkan lagi fakta berkenaan. Tapi adalah sesuatu yang malang, apabila seseorang wartawan menyaksikan puluhan ribu orang menghadiri sesuatu perhimpunan, kemudian balik ke pejabat dan membuat berita - 1,000 hadiri perhimpunan. Jika perkara asas ini pun tidak dapat dikuasai, bagaimana seseorang wartawan itu berupaya membuat sebuah laporan berita bermutu?
Jika tugasan berdasarkan peristiwa depan mata ini pun, seseorang wartawan itu tak dapat membuat laporan yang boleh dipercayai, bagaimana di boleh diamanahkan membuat laporan yang lebih sulit atau dari luar negara? Ini kerana jika dia mahu 'membuat pembohongan' dalam laporannya, misalnya dari luar negara, tidak banyak pihak yang tahu kerana peristiwa yang dibuat liputan itu berlaku beribu2 kilometer dari tanah air sendiri. Katakanlah seseorang wartawan itu diberikan tugasan membuat liputan pilihan raya pelbagai kaum yang pertama di Afrika Selatan pada 1994 dulu. Dalam satu perhimpunan di Stadium First National Bank(FNB) di Soweto yang terletak di pinggir Johanessburg, dia menyaksikan 80,000 rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat berhimpun bagi memberikan sokongan kepada Nelson Mandela. Tetapi disebabkan 'dia sudah terbiasa berbohong' dia melaporkan 'hanya 1,000 memberikan sokongan kepada Mandela.
Satu lagi kemungkinan yang berlaku ialah wartawan berkenaan membuat laporan yang sahih sama seperti yang disaksikannya - 80,000 sertai perhimpunan - tetapi apabila berita itu sampai di meja pengarang atau pemilik akhbar - disebabkan tidak suka kepada Mandela - dia pun mengubahnya kepada 'hanya 1.000 prang sertai perhimpunan! Berdasarkan perkembangan mutakhir dalam dunia persuratkhabaran dan politik tanah air adalah penting bagi kita memberikan suntikan baru termasuk 'melahirkan' 'Abdul Rahim Kajai baru' dan 'Pak Sako baru'.
Dulu Abdul Rahim Kajai, Pak Sako dan beberapa tokoh wartawan seangkatan mereka seperti Tan Sri Samad Ismail, bertungkus lumus menyedarkan rakyat peribumi mengenai nasib malang dibawah penjajahan. Tokoh-tokoh inilah yang menyemarakkan perjuangan rakyat melalui tulisan mereka. Sekarang sudah sampai masa untuk kita melahirkan 'tokoh wartawan (penulis) baru' untuk menyemarakkan kebangkitan rakyat dalam menghadapi kebangkitan gelombang masa kini. Rakyat dahagakan kemunculan 'Rahim Kajai baru' atau 'Pak Sako baru' untuk membimbing mereka menghadapi kemelut mutakhir ini. Tokoh wartawan generasi baru ini akan mencetuskan idea besar bagi mengisi kegersangan dunia kewartawanan masa kini yang sungguh memualkan.
Di bahu 'Rahim Kajai baru' dan 'Pak Sako baru' inilah nanti rakyat meletakkan sebahagian pergantungan. Sebagai contoh, mereka boleh menyedarkan rakyat jelata mengenai keperluan membebaskan diri daripada 'penjajahan bentuk baru' seterusnya bagaimana mengisi program 'kemerdekaan' selepas itu. Dunia kewartawan kita masa kini sudah berada di penghujung jalan. Satu perubahan besar perlu dilakukan sebelum seluruh anggota masyarakat hilang kepercayaan kepada institusi ini. Ketidakpercayaan jelata kepada media kini sudah menjadi satu masalah yang amat serius. Perkara ini perlu ditangani segera kerana dikhuatiri kewartawanan akan menjadi bidang dan kerjaya yang dipandang hina, menyamai taraf pencuri, pembohong, penyebar fitnah dan sebagainya.
Sekalipunketika ini sudah wujud etika dalam dunia kewartawanan, ia seolah2 satu 'paparan bisu' yang tidak dipedulikan sebahagian besar pengamal media. Sebahagian besar daripadanya hanya memikirkan kaedah untuk memenuhi nafsu tertentu termasuklah dari segi kekuasaan dan kewangan. Dunia kewartawanan kita hari ini tertunggu2 kemunculan tokoh besar yang mampu mengubah senario masyarakat sama seperti yang dilakukan Rahim Kajai atau Pak Sako berdekad-dekad lalu. Jika Pak Sako boleh menulis secara berbisa untuk menyedarkan masyarakatnya, kita juga mengharapkan kehadiran tokoh baru yang menyamai kebijaksanaan mereka. Sesungguhnya kita menantikan kemunculan mereka......
Tengku Roshdan Tengku Abdul Wahab ~ Parti KeADILan Rakyat Machang Kelantan
Peace N LoVeD
Membaca kesan perpisahan Pas dengan Bersatu
3 days ago


0 comments:
Post a Comment