Assalamualaikum WBT.
Sempena musim haji ni,, ambo nok conteng-conteng atau dalam bahasa kelantan,, korha-korha mengenai apa yang saya tahu mengenai ibadah haji.. Buat semua yang membaca korha-korha ini, saya mintak supaya anda menegur mana-mana sisi yang anda tidak persetujui dan saya minta jasa baik anda supaya mendoakan kedua orang tua saya iaitu YM Tengku Abdul Wahab Bin Raja Daud dengan ibu saya Puan Napisah binti Abdullah yang berada di Baitullah al-Haram sekarang ini,, supaya berada dalam keadaan selamat dan sihat sejahtera untuk mengerjakan ibadah haji dan membawa pulang Haji Yang Mabrur.. Insya-Alllah.....
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...
Setiap amalan ibadah yang disyariatkan ISLAM mempunyai keutamaan, kelebihan atau fadilatnya yang tersendiri, termasuklah ibadah haji. Banyak hadis-hadis yang menukilkan tentang kelebihan dan keistimewaan orang-orang yang menunaikan haji. Jabir r.a meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Doa orang yang berhaji tidak ditolak oleh ALLAH sampai ia kembali pulang."
Dalam hadis lain pula Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa yang ingin memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat, tujulah Baitullah al-Haram ini, tiada seseorang yang berkunjung ke Baitullah kemudian memohon perkara dunia kecuali dikabulkan permintaannya, dan tiada orang yang memohon perkara akhirat kecuali akan menerimanya di akhirat nanti."
Kedua-dua hadis tersebut merupakan jaminan bagi orang yang menunaikan haji bahawa doa mereka akan diterima oleh ALLAH SWT. Alangkah besarnya erti jaminan tersebut. Betapa tinggi erti dan nilai berkunjung ke Baitullah al-Haram sama ada untuk berumrah atau menunaikan haji. Yakinlah dengan jaminan dari Rasulullah SAW ini kerana Baginda tidak bercakap kosong, kecuali wahyu dari ALLAH SWT. Namun begitu kita tidak harus lupa bahawa berdoa itu mempunyai beberapa prasyarat, khusyuk dan tawadduk dihadapan ALLAH SWT. Terkabulnya doa juga berkait rapat dengan kebersihan dan kesucian hati dan tubuh badan. Olh yang demikian. orang-orang yang akan menunaikan fardu haji sangat dianjurkan agar terlebih dahulu membersihkan diri dari noda-noda dosa, bertaubat serta tekun melaksanakan segala perintah ALLAH SWT dengan penuh keikhlasan.
Tujuan dari semua ibadah kepada ALLAH adalah untuk mencapai darjah makbul (diterima). Namun begitu ada amalan kita yang diterima oleh ALLAH SWT dan ada yang tidak. Haji juga demikian, ada yang makbul dan ada yang mardud(ditolak). Istilah "haji mabrur" tidak terdapat dalam al-Quran sebenarnya, tetapi diperkenalkan oleh Rasulullah SAW melalui beberapa hadisnya, antaranya yang paling popular adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang menyatakan bahawa "Haji yang mabrur tidak ada ganjarannya kecuali syurga."
Dari segi bahasa, perkataan "mabrur" berasal dari perkataan "barra" yang bererti syurga, diterima, pemberian, keluasan dan kebajikan. Manakala pengertian menurut istilah agama, terdapat beberapa pandangan mengenainya. Al-Syaukani dalam bukunya NAIL AL-AUTHAR menjelaskan bahawa: "Ibnu Khalawaih berpendapat bahawa haji mabrur adalah haji yang makbul (diterima oleh ALLAH SWT). Ulama' berpendapat bahawa ia adalah haji yang perlaksanaannya tidak dinodai oleh dosa.
Pendapat ini dipilih dan dikuatkan oleh Imam al-Nawawi. Terdapat juga pendapat lain seperti Al-Qurtubi yang memberikan pengertian yang hampir serupa. kesimpulannya, haji mabrur adalah "haji yang sempurna hukum-hukumnya sehingga terlaksana secara sempurna sebagaimana yang dituntut." Jika itu yang dimaksudkan dengan haji mabrur, maka "haji mardud" pula bolehlah diberi pengertian sebagai haji yang tidak memenuhi prasyaratannya, atau orang yang melakukan ibadah itu dengan niat yang tidak ikhlas, atau menunaikanya dengan niat bukan kerana semata-mata kerana ALLAH SWT sebagaimana firmanNYA yang bermaksud:
"Hanya kerana ALLAH diwajibkan atas manusia menuju ke Rumah ALLAH". - (Ali Imran:97 dan dalam Surah al-Baqarah, ayat ke-196 yang bermaksud: "Sempurnakanlah haji dan umrah kerana ALLAH."
Walaupun syarat sah semua ibadah adalah "lillah" (kerana ALLAH), tetapi mengenai haji dan umrah al-Quran menyatakan secara tegas dan tersurat. Seharusnya niat "Lillah" kita itu tertanam sejak terdetik hatinya ingin berkunjung ke "Rumah ALLAH". Namun jika ketika itu niatnya belum cukup mantap, semoga ia akan mantap ketika mula-mula melangkah kaki meninggalkan rumah, atau sekurang-kurangnya ketika ia mula mengenakan pakaian ihram sambil mengucapkan "Labaikallah......"
Kalau ketulusan "Lillah" itu tidak turut menyertai ucapan "Labbaikallah..." maka jangan menyesal bila pintu rumahNYA akan tertutup, atau sambutanNYA dingin, bahkan boleh jadi, DIA tidak akan menoleh dan hanya berfirman kepada malaikatNYA: "Lihatlah si pembohong yang datang itu."
Saya menyeru kepada anda dan diri saya sendiri supaya sentiasalah kita berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah dalam setiap perbuatan dan urusan kita. ISLAM itu adalah cara hidup.. jadi amalkanlah sebaik-baiknya dalam setiap gerak kerja kita baik belajar, kerja, kahwin, berpolitik, ekonomi, berniaga dan apa sahaja.. segala-galanya haruslah selari dan selaras dengan ajaran ISLAM yang suci ini...
ALLAHU AKBARx3!!!
Wallahu a'lam........
Tengku Roshdan Tengku Abdul Wahab ~ Parti KeADILan Rakyat Machang.....
PeAce N LoVeD
Membaca kesan perpisahan Pas dengan Bersatu
3 days ago


0 comments:
Post a Comment